empat Persepsi

Pameran 4 Persepsi 2019 mengumpulkan semula karya-karya mutakhir Fauzin Mustafa, Hasnul J Saidon, Mohd Noor Mahmud & Taufik Abdullah dalam sebuah pameran, 30 tahun selepas pameran berkumpulan mereka pada tahun 1989. Sejak tahun 1989, mereka tidak pernah berpameran bersama. Masing-masing meneruskan karier dan perjalanan kesenian tersendiri. Fauzin Mustafa bertugas sebagai pereka set dan kemudiannya menjadi pelukis sepenuh masa. Hasnul J Saidon melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan pulang untuk bertugas sebagai pensyarah di ITM (Pada 26.08.1999, ITM telah diiktiraf sebagai UiTM), UNIMAS, Cenfad dan kini USM. Mohd Noor Mahmud melanjutkan pelajaran ke England dan seterusnya menjadi guru sekolah di Kota Bharu Kelantan. Taufik Abdullah menjadi pereka di sebuah syarikat Jepun, pernah bertugas di Mexico sebelum kembali ke Kota Bharu untuk membuka perniagaan sendiri. Kesemua mereka masih terus berkarya dengan cara tersendiri. Pameran ini membolehkan pengunjung meninjau halatuju mutakhir dalam pengkaryaan mereka, setelah bersama-sama menimba ilmu seni halus selama 4 tahun di ITM dari tahun 1984 hingga 1988.